Back to News

Syarikat Spin-off A*STAR BTI, AuctuCel lancar platform AI

Adin M. Nor
September 12, 2025
News image
Mengurangkan kos pembangunan sehingga 80 peratus, mempercepatkan garis masa sebanyak 83 peratus serta meningkatkan produktiviti sel lebih 20 peratus.

SINGAPURA, 12 September 2025 – AuctuCel, syarikat bioteknologi baharu hasil spin-off daripada A*STAR Bioprocessing Technology Institute (BTI) melancarkan platform proprietari dikenali sebagai Fluxperior iaitu satu sistem berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bagi mengurangkan kos dan masa dalam menghasilkan resipi nutrien untuk pertumbuhan sel yang digunakan dalam rawatan perubatan.

Dibangunkan oleh penyelidik A*STAR BTI, Fluxperior menggabungkan pemodelan komputer dengan AI untuk meramal keperluan nutrien sel secara tepat, sekali gus menggantikan kaedah tradisional berasaskan proses cuba jaya yang kebiasaannya mengambil masa lebih enam bulan.

Hasil kajian menunjukkan Fluxperior mampu mengurangkan kos pembangunan sehingga 80 peratus, mempercepatkan garis masa sebanyak 83 peratus serta meningkatkan produktiviti sel lebih 20 peratus.

Antara ciri utama Fluxperior ialah:

1. Pengoptimuman Media Kultur Dikuasakan AI: Menggunakan simulasi komputer untuk memodelkan penggunaan nutrien oleh sel, meramal formula optimum tanpa keperluan ujian makmal yang meluas.

2. Kepelbagaian Merentas Aplikasi: Boleh digunakan untuk terapi CAR-T dan CAR-NK, rawatan sel stem, imunoterapi kanser, vaksin serta ubat antibodi.

3. Peningkatan Kecekapan: Mengurangkan kos pembangunan sehingga 80 peratus dan tempoh daripada enam bulan kepada seawal sebulan, dengan produktiviti meningkat melebihi 20 peratus.

AuctuCel diasaskan oleh Dr. Chee Wai Fhu dan Dr. Zach Pang, hasil daripada pengalaman penyelidikan bertahun-tahun di makmal.

Dr. Fhu yang berkhidmat di Cancer Science Institute of Singapore berdepan cabaran mengekalkan kelangsungan hidup sel kanser yang rapuh, manakala Dr. Zach Pang, Ketua Kumpulan di A*STAR BTI turut menghadapi kesukaran sama ketika pengajian PhD di London, yang akhirnya mencetuskan idea pendekatan komputasi ini.

Inovasi tersebut dibina berasaskan kepakaran A*STAR BTI dalam pembangunan media kultur, analitik bio pemprosesan serta pemodelan komputasi dan kini telah menarik perhatian antarabangsa serta pelabur industri.

Syarikat itu berjaya memperoleh pelaburan prabenih enam angka daripada pengeluar media kultur selain S$50,000 melalui skim Startup SG oleh Enterprise Singapore, dengan keuntungan dijangka dicapai menjelang akhir 2025.

“Kami menetapkan taraf baharu untuk ketepatan dalam pemakanan sel. Ini menjimatkan masa di makmal dan mempercepatkan inovasi biotek,” kata Pengasas Bersama & Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Chee Wai Fhu.

Pengasas Bersama & Penasihat Saintifik Utama, Dr. Zach Pang pula berkata, “Ini bermula sebagai kekecewaan peribadi saya di makmal. Hari ini, kami menyelesaikannya untuk seluruh industri biotek.”

Beberapa syarikat biotek telah menggunakan Fluxperior untuk mempercepatkan pembangunan terapi lanjutan berasaskan sel, mengurangkan kos dan meningkatkan kebolehskalaan pengeluaran.

Teknologi itu juga pernah ditampilkan dalam Genetic Engineering & Biotechnology News serta jurnal disemak rakan sebaya, selain menghasilkan penerbitan penyelidikan bersama pengeluar media kultur global.

Majlis pelancaran rasmi Fluxperior dijadual berlangsung pada 9 September, dari 6 petang hingga 8 malam di Singapore Polytechnic Graduate Guild, dengan acara demonstrasi teknologi, pengumuman kerjasama serta pameran produk yang bakal dihadiri pemimpin industri, rakan kolaborasi A*STAR dan profesional biotek serantau.

Temu bual media bersama Dr. Chee Wai Fhu dan Dr. Zach Pang tersedia atas permintaan, dengan kedua-duanya bersedia berkongsi mengenai teknologi AuctuCel, impaknya terhadap industri bioteknologi serta peranan Singapura sebagai hab biotek global.FFF


Source: Malaya Newsroom - Syarikat Spin-off A*STAR BTI, AuctuCel lancar platform AI - Malaya Newsroom

Share this article

View all news
Dr. AuctuPus